my best friend forever

iklan nuff

Sila godek

Stacy datang?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Dua hari ni aku sakit2 je, sakit badan, sakit tapak kaki, sakit perut........kepala je tak sakit. Sakit-sakit.... selera macam biasa, tetap maintain nak makan....hehe...

Minggu ni cuti 1 Mei, hari buruh.....seronok la cikgu cikgi kan? Terutama hubby ku tu, kalau boleh nak cuti tiap-tiap minggu, tak cukup sabtu dan ahad yang dah sedia ada. Cuti lama-lama pun memerap kat rumah, boring juga. Keluar jauh sikit dari rumah, perlukan kos yang banyak pula. Macam ni, piknik belakang rumah je jawabnya!

Aku ni sejak kahwin, lama betul tak pergi tengok konsert kat mana2. Masa bujang dulu, pantang ada konsert, bertemankan adik perempuan ku. Kami sanggup balik malam naik teksi sebab komuter takde sampai tengah malam. Betapa beraninya kami masa tu...........tapi mak memang tahu aktiviti kami dan dia tak menghalang. Kalau berpiknik tepi pantai, air terjun......memang dia tak bagi.

Cakap pasal konsert, kat area taman kami tinggal ni akan di adakan konsert dan karnival jualan. Artis undangan yang aku nampak adalah Stacy. Lain2 aku tak tau sebab muka Stacy je yang terpampang kat tiang2 letrik sepanjang jalan.

Kalau aku pergi, agak2 dapat tak bergambar dengan Stacy? Mungkin tidak........zaman kejar-kejar artis bagi ku dah berlalu. Biarlah anak ku pula yang ambil alih.

Aku hanya tumpang miming dengan Satcy je la......

Buat tambah dosa ku je...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Nak tulis ke tidak ye? Tak tulis, hati tak senang......
Hubby kata, jaaaaangan! Nanti orang terasa pulak.
Aku kata, biarlah.......bukan nak kata dia je, aku ingatkan diri ku juga.

Ok, macam ni......
Jogging kat taman (tempat biasa kita orang jogging)
Mata ku melilau tengok sana, tengok sini.......biasalah, waktu pagi kan?
Tengok burung berterbangan.......
Tengok pohon-pohon kayu yang segar.....
Tengok bunga-bunga berkembangan......
Dongak kelangit, nampak awan berkumpul......cuaca baik hari ni......




Tiba-tiba.....
Sakitnya mata ku melihat pemandangan tu......sayangnya aku tak boleh snap gambar....
Buat dosa aku berbakul-bakul sebab setiap pagi aku akan nampak 'dia' jogging sama....
Dengan bertudung, bagus la kan? Isteri soleha.......aku rasa dia dah beranak pinak kalau intai pada tubuh badannya.
T-shirt lengan panjang, ok la tuh! Belang-belang lagi, tapi tak sampai paras bawah punggung pun.
Kelihatan baju tu labuhnya bawah sedikit dari pinggang dia....



Aku tengok lagi bahgian bawah (seluar dia)
Alamak........boleh nampak bentuk punggung, peha dan betis dia daaaa....
Kenapa dia pakai macam tu eh, tanya ku pada hubby.....
Malas nak jawab soalan ku sebab setiap hari aku membebel benda yang sama...
Legging tu tak sesuai pakai untuk berjogging la 'makcik'....
Kalau nak pakai jugak, carilah baju yang labuh tutup punggong hang yang lebar tu....
Masa pakai tu tak tengok cermin ke?
Kalau jogging area rumah sendiri pun tak patut pakai macam tu, apalagi kat kawasan yang ramai orang.


Esok lusa pasti aku jumpa lagi dan aku akan bercakap benda yang sama.
Agaknya kalau aku pergi jumpa dia baru puas hati kot....
Tapi.......aku takut nak tegor, silap2 dia kata, laki aku tak marah pun?


nota aku: harap2 aku jadi lebih baik dari sehari kesehari....

Lega rasanya....tapi...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Hari ni badan rasa lemau pulak, nak demam ada....sakit badan ada.....kena hujan semalam kot? Setengah hari semalam ikut hubby ke bengkel, tercongok tunggu kat situ, tengok orang repair aircond kereta kami. Cuaca pula panas terik sekarang ni......mana larat kalau kereta tak beraircond kan?

Kopak la empat ratus lebih. Dah la duit tu bukan duit aku (duit hubby ler...). Nak buat macam mana, dah nasib kereta tu kena tukar segala bagai, tempoh hayat dia setakat tu je....sebelum ni tak pernah lagi buat hal. Iye la....kereta tu pun dah nak habis bayar, pastilah ada yang rosak sikit.

Lepas settle aircond kereta, terus ambil anak kat sekolah, kebetulan hubby cuti. Kemudian uruskan perkara lain pula, bayar bil letrik yang beratus hengget.

Sebenarnya aku tak sedap badan ni, dalam otak aku macam-macam nak cerita tapi tak mampu nak menyusun ayat. Jadi aku minta maaf la ye.....setakat ni dulu aku update. Mesti korang bosan baca, takde cerita lain nak tulis. Asyik cerita diri sendiri je? Dah nama pun blog surirumah, itu je la yang mampu aku coret. Perkara lain yang sensitif aku tak boleh kongsi, nanti ada pula yang terasa hati. Kekadang apa yang aku tulis, aku tak tuju pada seseorang......tapi bila orang tu terasa, dia kata aku cerita hal dia.......Maaf la kalau terasa...


nota aku: kalau aku pula terasa, mungkin aku yang silap...

Lokan, sendiri masak....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Cerita banyak tak guna, tembak tak kena! Malas nak update panjang-panjang, bukan orang nak baca sangat pun blog aku ni......maklum le...blog surirumah je!!

Hari ni ke pasar tamu dan nampak benda ni.......


selonggok (dlm satu piring) RM2, kalau beli 3 piring dapat RM5, baik beli....kan.....puas hati. 
Tak tau kat semenanjung berapa agaknya ye? Tapi tak boleh selalu ni, kang segala bapak gout datang menyerang. Eh.....lokan boleh jadi penyebab ke? Nanti nak google kejap!

Alamak! dah makan, baru jumpa satu blog ni......kail si anak laut...ada cerita pasal lokan, nak buat macam mana? harap2 lokan ni bersih 'luar dan dalam'!

Masak simple2 je, letak cili dan bawang putih, ketok serai, gula sikit.......


nota aku: sekali sekala boleh, dua kala......mungkin tidak...

Rezeki datang lagi!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Assalammualaikum semua, dah hari khamis, kejap je masa berlalu. Cuaca panas terik minggu ni jadi kenalah minum air putih banyak-banyak. Nanti sakit siapa yang susah? Diri kita dan keluarga kita juga yang susah, kan.....

Semalam hubby dapat call dari makciknya di JB, minta tolong belikan ikan keropok dalam dua atau tiga kilo. Kebetulan kawannya ada datang Sabah, jadi kami kirimkan ikan tu melalui kawan dia. Harga ikan keropok sekarang makin mahal. Sekilo dalam RM36. Hanya sekilo yang mampu kami belikan kerana kebetulan hubby bawa duit cukup-cukup (lagi pun faham2 je la......hujung bulan, sesak der....)

Malam tadi hubby hantar ke hotel tempat kawan makcik dia menginap. Lepas tu dia terus ke gelanggang badminton yang menjadi rutin dia seminggu dua kali. Bangun je pagi tadi, aku tengok ada sebungkus besar barang dia bawa pulang. Aik? ada duit ke laki aku ni beli semua tu??

Rupanya kawan makcik tu bagi free. Dia nak promote barang-barang bisnes dia. Satu sen pun hubby takde bayar, hingga rasa malu pula nak ambil. Tapi aku cakap kat hubby, dah rezeki kita la ni. Kebetulan minuman amalan ku dah nak habis. Alhamdulillah, rezeki Allah yang diberi pada kawan makcik tu, dikongsi pula dengan kami. Walaupun niat sebenar nak promote barang-barang tu, kami tak kisah sebab memang berguna untuk kesihatan. Daripada kita beli nesscafe, kopi dan lain-lain di supermarket, baik kita beli yang sebegini, menambah baik kesihatan diri dan pendapatan sampingan makin bertambah (kalau jadi ahli).



Hanya dua barang tu je yang belum pernah kami cuba, iaitu tongkat ali dan kacip fatimah. Kopi Barley tu memang laku kat semenanjung dan kakak ipar ku pernah jual dan untung beratus juga la.......huhu....antara rajin dengan malas je.......

nota aku : kalau kita ringan tulang, rezeki takkan putus, insyaAllah

Apa khabar 'anak-anak bulu'?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Saat ini teringat anak-anak bulu kat rumah adik ku dan rumah kakak ku. Dah besar agaknya? Mesti dah pandai jalan sebab masa aku tengok dulu baru celik mata, jalan pun tak kuat lagi. 



aku lupa nama si comel ni, nakal sangat sampai susah nak di pegang....
nak ambil gambar pun susah, masa ni sakit mata agaknya....
bulu yang kembang kat tengkok, dah besar nanti lagi panjang bulunya...

alalala....jendolnya dahi! mata pun belum celik....

ni yang bongsu kot, kecik je......tapi mata dah buka tu....huhu...rupa budak nakal...


Ada lagi gambar dalam simpanan ku, kalau takde idea nak update blog, baru aku keluarkan.

Jom makan Lepat Ubi kesukaan ku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku makan lepat ubi kuih kesukaan ku. Sebenarnya aku tak pandai sangat buat lepat ubi tapi kebetulan tadi kakak ku talipon, langsung ku tanyakan resipi yang selalu dia buat.

Ubi ku beli di pasar besar sekilo RM1.50 je, kira murah le tu. Ikutkan aku ni tak pandai pilih ubi kayu, selalu ku beli mesti terbuang begitu saja. Tadi lepas beli, tak tunggu lagi, terus parut. Perah ubi yang diparut dengan kain bersih.

Masak air gula melaka campur dengan gula putih. Ubi ni kuat makan gula, kalau tak manis tak sedap pula.  Masukkan sedikit santan dan tiga atau empat sudu besar tepung pulut. Gaul rata dan dah boleh bungkus dengan daun pisang yang dah di salai.

lepas di kukus.......cantik tak balutan lepat tu? hehe......kalau balut macam ni aku memang pro...

huhu......dua keping aku bedal lepas keluar dari periuk kukus, memang teringin sangat........

Kasihilah mereka itu!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Dari mana harus ku mula bicara? Sayu dan pilu hati ini mendengar kisah anak yatim kehilangan ibu tercinta. Rasa di siat-siat, dirobek dan dicincang lumat namun tak mampu ku lahirkan dengan air mata. Hanya doa ku pohon moga mereka (anak-anak) dapat bersabar dengan dugaan yang Allah turunkan.

Cuba kita letakkan diri  kita seperti anak-anak ini. Hidup....sudahlah miskin, kais pagi makan pagi. Adik beradik ramai lebih kurang sembilan orang. Arwah ibu tidak berkerja tetap dan ayah pula hanya pekerja biasa, gaji tak sampai seribu. Nasib baik rumah yang di duduki di atas tanah sendiri walaupun tidak sesempurna jiran keliling.

Ibu mereka ketika masih hidup menjual kuih, kadang kala pergi menoreh. Hantar dan ambil anak disekolah dengan motor saja. Makan apa yang ada, kadang kala selepas habis kenduri rumah jiran, ibunya bawa pulang makanan untuk anak-anak, masa tu la agaknya hidangan mewah mereka. Pakaian di tubuh tak seindah anak-anak kita. Dulu-dulu sebelum aku pindah ke Sabah, sering juga bawa balik baju-baju dan kasut yang tak diguna. Boleh juga sedekah kat mereka.

Itu tak jadi masalah pada mereka, alah bisa tegal biasa.......mulut orang keliling yang buat dia tak tahan menanggung sengsara. Macam-macam yang aku dengar, mereka dikata nista. Mentang-mentang mereka miskin harta, suka hati je orang menginjak hidup mereka. Walaupun miskin tak sempurna dan sebagainya, anak-anak ni bijak dalam pelajaran. Sekarang ada yang dah status pegawai, lulusan U dan sebagainya.

Saat ibu mereka meninggal juga tiada saudara mara yang membantu anak-anak ini. Apa yang ku dengar memang benar-benar buat ku terpanggil untuk menulis di sini. Usahlah kita memandang orang seperti ini dengan sebelah mata kerana kita tak tahu lagi nasib kita kemudian hari nanti. Allah maha adil lagi mengasihi. Pasti ada balasan kalau tidak di dunia, di akhirat pula.

Tidak adakah belas kasihan dihati saudara mara mereka? Sedangkan kita yang tiada apa-apa hubungan pun, si miskin ni menganggap kita sebagai saudara sendiri. Tidak malukah saudara itu?

Aku berharap sangat, selepas pemergian ibunya, nasib anak-anak ini terbela. Masih ada yang kecil belum bersekolah lagi. Akan ku lawat juga nanti bila kami pulang berhari raya, insyaAllah.

Entry kali ni bukan ku tuju pada mereka yang tertentu saja tapi peringatan pada diri ku juga.
'Sayangilah anak-anak kita lebih lagi anak yatim'

nota aku : ada masa terluang baca kat di sini

Betul la...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Hari minggu memerap kat rumah sambil menjelajah internet walaupun line slow gila. Cuaca gelap diluar ketika ini, jam menunjukkan hampir 4 ptg. Kejap lagi nak keluar pergi rumah makcik sambil bawa barang 'dagangan' kami (kuih frozen dan madu)

Alhamdulillah, rezeki Allah beri, syukurlah kami tidak kesempitan tika tengah bulan begini. Tempohari ada update tentang hubby ku kehilangan jam tangan dan handphone. Tapi semalam, rezeki datang tergolek, en.hubby dapat jam tangan baru pula dari pakcik dia. Aku pula dapat tempahan kuih frozen dari makcik ku. Madu pun boleh tahan laku, ada orang order 10 botol lagi.

Betul la orang kata, sekiranya kita hilang sesuatu yang kita sayang, mungkin Allah nak ganti yang lebih baik dari itu. Hubby juga ada dapat job sambilan buat assignment untuk kawan dia yang sambung belajar tapi tak sempat nak buat. Biasalah, orang dah kahwin, mana ada masa nak buat tu semua. Mana anak lagi nak layan, nak masak, kerja pejabat lagi.

Aku harap rezeki kami ni berterusan hendaknya. Seiring dengan doa kami setiap kali lepas solat. Teman-teman juga, terima kasih kerana sering berkunjung keblog ku yang tak seberapa indah ini.
Terima kasih kerana menjadi peneman ku kala sepi..........


nota ku: terima kasih ya ALLAH..

'Katak bawah kaca'

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Pelajaran hari ini, bukan 'katak bawah tempurung tapi katak yang duduk bawah kaca'. Aku tengok Generasi Y kat tv RTM tadi. Artis jemputan aku lupa nama dia, bersama seorang cikgu tusyen yang masih muda.

Mereka ni muda-muda dah jadi usahawan, seorang penyanyi dan seorang guru. Topik perbualan tentang muda mudi yang ingin menambah duit poket selain daripada duit yang diberi oleh ibubapa. Beberapa tip yang diberi, kena yakin, berani, sabar, selidik dahulu apa yang kita ingin lakukan (Berniaga) dan risiko yang perlu ditanggung. Perlu tahu atau mendalami apa yang ingin kita lakukan sebagai pelaburan masa depan.

Cakap pasal bisnes ni, niat kami memang nak bisnes. Tak kira la kecil-kecilan atau sambilan. Tadi aku berusaha cari buku yang aku inginkan tu. Setelah beberapa tempat pergi, akhirnya bertemu juga. Tapi tak banyak pilihan dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris. Lebih banyak bahasa Cina. Kalau ada sikit BI tu, boleh juga aku beli.

Soal 'katak bawah kaca' tu, maksudnya (kata cikgu tusyen tu la) kita jangan jadi katak yang hanya boleh melihat apa yang berlaku sekeliling kita tapi tidak berbuat apa-apa untuk kemajuan diri kita sendiri. Lebih kurang macam tu la.......aku tengok sambil lipat kain baju yang menimbun....

Betul juga kata dia.....selama ni kita tengok je orang makin maju, makin berjaya, makin kaya, makin baik taraf hidup. Sedangkan kita pun boleh jadi seperti mereka dengan hanya bermodal tak sampai satu ribu. Hendak seribu daya, taknak.....seribu dalih!!

nota aku: sedang berusaha!!

Hari MARAH ku...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Orang kata tak elok marah-marah, nanti cepat tua. Ahh....aku tak kira, nak marah jugak.
Ada ke patut tak marah kalau makanan yang kita masak dibuang begitu saje? Tak habis.... satu hal, sorok pulak tu!

Semalam aku goreng kue teow untuk anak ku makan tengahari. Perencahnya telor dan udang besar-besar sebab dia memang suka seafood. Sebenarnya aku tak paksa kalau dia belum lapar, boleh je tinggalkan bawah tudung saji. Ini tak, konon-kononnya dia habiskan makanan tu tapi yang sebenarnya dia letak dalam kertas suratkhabar dan lipat bersama surat khabar lama.

Kebetulan selepas dia buat hal tu, aku pula pergi ambik suratkhabar nak guna lapik sesuatu. Apa lagi? Terkejut berok la aku, ingatkan 'tahi' dari mana pulak. Suara aku marah semalam agaknya orang sebelah pun boleh dengar. Rasa nak menangis pun ada kerana kecewa sangat dengan sikap dia. Selepas dihukum dengan rotan (aku jarang merotan melainkan gertak je biasanya) di tapak tangan dan kaki, aku tak benarkan dia keluar bermain waktu petang dan menonton tv.

Hukuman ditambah pula dengan menulis didalam buku tulis tentang keburukan sikap dia selama ini. Tapi dah nama pun budak-budak. Apa yang kita hukum tu, dia buat je tanpa bantahan. Malam tu, lepas sama-sama sembahyang magrib, dia hulur tangan minta maaf. Aku tanya, kalau lepas ni buat lagi, nak hukum apa pula? Dengan sedih dan lenangan airmata, 'sebat dengan tali pinggang'.

Anak....anak....itu sorang je, orang lain yang anak ramai tu senang je nak urus. Kadang-kadang aku rasa dah bersungguh-sungguh ajar dia supaya berdisiplin, jangan menipu, cakap bohong, jangan degil tapi kurang berkesan. Adakah kerana pergaulan disekolah atau teman-teman sekeliling mempengaruhi? Bila guna cara yang lembut, kekadang dia tak takut pula.......

Bercakap pasal MARAH ni, aku nak share sikit keburukan suka marah. Info dari majalah MIDI.
  • Menyebabkan orang kurang senang dengan sikap kita yang panas baran.
  • Menyebabkan darah  mudah naik dan boleh menjejaskan kesihatan mereka yang berpenyakit darah tinggi atau hipertensi.
  • Menyebabkan suasana menjadi tegang dan tidak ceria.
  • Menyebabkan kita digeruni oleh kanak-kanak.

nota aku: bila takde mood nak marah, aku pass kat hubby pula....

Macam-macam hal

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Pernah dapat sms dari bapa, pakcik, abang atau saudara mara terdekat dan jauh? Mestilah ada tapi pernah ke dapat sms dari pakcik yang tidak kita kenali? Rasanya dah ramai terkena macam ni dan aku juga dah beberapa kali terkena.

Mulanya dapat sms tu, hati ni tertanya-tanya juga, siapa pula 'pakcik' aku yang kena tangkap, dok dalam lokap? Sms berbunyi......'Ni pakcik guna kad orang, tolong isikan pakcik top up RM30 di number baru pakcik. Ni nombor dia 0128354420, pasal pakcik ada kes di balai polis. Boleh tak cepat sikit beli'

Aku ni yang agak-agak lurus bendul, pergi la tanya orang tu, orang ni.......kita ada ke pakcik guna nombor ni? Hubby kata jangan layanlah! Nak mengena la tu.....cantik muka dia? ingat senang-senang kita nak top up pada orang yang kita tak kenal?

Cakap pasal top up ni satu hal. Baru masuk RM10, belum sempat guna, dah lesap dah.......hari tu hubby ku nak talipon nenek dia di London. Taknak guna celcom sebab nenek dia biasa guna maxis, pergi la top up, kononnya nak talipon esok hari. Bila nak guna keesokkanya, kredit zero?? Aku cakap kat dia, baik awak langgan celcom yang bulan-bulan RM5, dah tentu kita dapat guna berbanding dengan menopap selalu, lepas tu duit burn, sepatah pun tak dapat cakap.

hurmm...macam-macam hal, takut anak salah guna line talipon, tu yang taknak langgan tapi kira dah rugi juga ni.....

Takde rezeki kami....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Sedih la aku......
Che abe balik semalam lepas hantar anak kesekolah, tergopoh-gopoh masuk kerumah.
Aik? kenapa pula? Kata nak pergi bayar bill celcom?
Ni nak cite ni......
Ok apa dia, cecite...cecite....

Tadi saya malas nak masuk bandar, ingat nak terus balik. Lepas tu perut memulas sakit.
Kelam kabut cari petrol palm.........
Habis 'melepas' saya pun terus start kereta, nak balik ler.....
Dalam kereta nak call kawan......alamak aii!! telephone dengan jam tangan tinggal dalam tandas laaaa.....
Saya patah balik.....huhu....dah lesap daaa....

Adoi....nak kata apa? Memang takde rezeki la tu, walaupun dia patah balik cari kat tandas tadi. Lesap!!
Sekarang ni terpaksa guna handphone anak, handphone satu lagi pun patah. Ish.....laki aku ni kalau guna barang semuanya rosak. Nasib baik murah....

Itu handphone, belum lagi aircond kereta yang rosak kali ketiga. Mau terbang tiga empat ratus bulan ni.......sabo je la....

Bukan Shima je 'Teringin'

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Lama betul tak makan petai. Agaknya bukan musim jadi susah nak jumpa. Kalau ada pun mahal gila.....takde la mahal macam nak beli kereta atau rumah. Tapi memang susah nak dapat kat KK ni.

Minggu tamu hari tu, sempat la rembat dalam 4 tangkai petai, harga RM2. Kecil dan comel-comel je, tak macam kat tempat kita, besar dan puas makan. Untuk tidak menghampakan tekak kami yang teringin nak makan, beli juga, alang-alang murah kan? Aku kopek semua dan separuh masak sambal udang petai, separuh lagi simpan dalam peti.


Resipi takyah tulis lah.....semua dah pandai buat sambal tumis kan.....lepas ni, tak reti-reti nak ambik berus, pencuci dan pewangi tandas? Rasakan la.....dah makan petai, sental la bilik air tuuuu.....

Award dari`` Story of Mama``

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Buka je blog hari ni ada message dari Puan Noorsafone, blog beliau http://storyofmama.blogspot.com/  suruh ambil award. Dia tu baru je berblog tapi follower dah beratus, aku?
Tak kisah la.......niat awal ku berblog bukannya nak kejar follower atau apa. Mungkin Puan Noor memang rajin orangnya, tak macam aku ni. Kena pulak kalau balik semenanjung berminggu-minggu, memang berhabok la blog ni.

Terima kasih Puan Noor ye, insyaAllah lepas ni turn saya pula.......

Sebenarnya ada juga plan nak buat GA tapi sedang cari idea yang menarik dan hadiah pun kena la menarik. Aku lebih suka kalau pemberian itu dari hasil tangan aku sendiri. Bila la agaknya ye? Tengok kat blog orang meriah je......blog aku ni dah bertahun aku buat tapi follower tak berapa nak ramai.

Asalnya berblog dulu hanya untuk suka-suka melepaskan tension dirumah. Tapi trend sekarang bukan saje nak lepas tension, nak cari teman untuk berkongsi apa yang boleh sebagai ilmu pengetahuan.

Apa pun pandangan orang lain terhadap blog ku ni, aku tak kisah asalkan aku dan kamu semua gembira berblog!!

Madu ku, madu mu juga...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Mesti ramai yang suka madu, kan? Lebih-lebih lagi orang lelaki, kalau cakap pasal madu je, dah mencapang telinga tu......Ada ke tak suka madu? Gila ko? Jom kita google apa kebaikkan madu ni.......baca kat SINI

Abang ipar ku katanya selalu amalkan madu sejak bujang lagi dan aku lihat dia sihat walafiat (bukan la tak pernah sakit) Aku juga dulu-dulu kerap menggunakan madu sebagai amalan waktu pagi dan juga bahan untuk masker pada wajah ku.

Kini bukan je aku nak amalkan semula tapi nak buat bisnes sekali. Orang kata sambil menyelam sambil minum air tapi air bersih la......Nanti aku buat satu blog khas untuk produk ni. Senang bagi mereka yang nak tau lebih lanjut, dimana nak cari dan siapa perlu dihubungi. Buat masa ni aku tayang kat sini dulu gambarnya. Mungkin orang semenanjung dah ramai yang tahu tapi di Sabah masih baru lagi.

Mudah-mudahan apa yang kami usahakan ni akan berhasil berkat usaha dan kerjasama dari semua pihak.


yang ni aku suka, rasa madu campur rasa apple, agak kemasaman sedikit....khasiatnya nanti aku cerita..
kata teman hubby, lelaki suka perasa lemon.....


ni pula yang asli.....

Ada yang teringin? Sementara belum siap blog produk ni, boleh kontek tuan blog ni.....hehe....kalau nak la!!

 nota aku: akan update yg lain2 kemudian..

Ada juga telor palsu eh?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Assalammualaikum semua, pagi sabtu yang disirami hujan kawasan rumah kami. Sejuk dan nyaman. Namun kenyamanan ini aku diserang sakit perut dan muntah. Tak pernah selama ini aku muntah kalau sakit perut. Bukan ada apa-apa ye!! Pening, sakit badan, tekak loya, sakit perut dan pedih ulu hati mungkin simpton gastrik. Sebelum ni pun dah biasa alami cuma tak sampai ke tahap muntah pula. Bagaimana pun aku dah telan pil, setakat ni alhamdulillah, belum lagi panggil ambulan......hehe....

Sekarang sibuk2 orang cerita pasal telor palsu, ada juga eh? Macam-macam rekaan sekarang, kalau berfaedah takpe le.......ni tak, menyusahkan orang je. Aku nak kongsi kat sini gambar telor yang palsu tu, mungkin kat blog2 dah ada, kita share sekali lagi.......

Ambil dari facebook kawan....
Agak-agak ada tak kita terbeli telor palsu ni? hurmmm.....macam tak ada beza je........pernah juga masa di kampung mertua, kopek telor, punyalah susah kerana salutan nipis tu melekat. Tapi tak pastilah samada palsu atau tidak. Kalau tak direbus, mana la nak tau palsu? Dibuatnya kita goreng telor, tak nampak la kepalsuan tu melainkan kena belek bentuk dia. Menyusahkan betul!!

Tak sihat pun nak berblog?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Pagi ni aku rasa sakit perut, sakit kepala, sakit badan, sakit tapak kaki.......aduh...semuanya sakit sangat. Entah kenapa tetiba je menyerang. Agaknya sebab aku bersenam hari tu kot? Tapi takde la beriya-iya sangat, aku buat perlahan-lahan je.

Nak kata kena hujan, tak juga. Nak kata kerja teruk kat rumah, tak juga. Salah makan, tak juga sebab anak dengan hubby ok je. Tapi takpelah, ni sikit je dugaan Allah bagi. Bukanlah nak merungut cuma terfikir apa penyebabnya.

Bagaimanapun tugas seorang isteri dan ibu, wajib aku jalankan. Takde istilah 'cuti' bagi kami surirumah. Dalam pada tak sihat, sempat juga berjalan ke blog orang lain. Iyelah......duduk tengok komputer sambil komen sana sini bukannya keluar tenaga sangat.

Ok, maaf la kalau aku jarang balas komen teman-teman di blog ni sebab biasanya aku akan berkunjung ke blog teman-teman. Itu lebih adil rasanya.

Pankek Berserat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Update pantas, resipi ni asal daripada majalah MIDI tapi aku ubah suai sedikit kerana takde bahan yang diperlukan.

1 cawan tepung gandum
1 cawan air
1/2 cwn quaker oat masakan
2 sudu besar gula perang (dlm resipi asal 2 sudu teh)
3/4 sudu teh serbuk penaik
1 biji telur omega 3
2 sudu susu tepung
secubit garam

Cara membuatnya:-

Satukan tepung gandum, air, quaker oat, gula, serbuk penaik, susu tepung dan garam. Biarkan sebentar.

Masukkan telur dan dipukul hingga rata.

Panaskan kuali leper yang tidak melekat. Ratakan sesenduk adunan untuk setiap satu pankek.

Masak selama 3 minit, balikkan, boleh diangkat bila keperangan.




nota aku: sesuai untuk orang nak diet, tapi boleh ke aku ni? hurmm....

Twist rampingkan pinggang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

 Lama betol tak berjogging, hujan setiap pagi, kemalasan pun melanda. Dah dua hari ni kami rajin sikit ke taman tasik Perdana, itupun sebab masih free parking. Kalau dah kena bayar, tak kuasa nak masuk hari-hari. Entah berapa nanti dia charge. Mungkin sebab ada alat-alat untuk mereka yang naik exercise, berbaloi agaknya parking kena bayar.

So pagi ni aku dan hubby pun ambil kesempatan menggunakannya. Tapi setiap kali kami sampai, mesti dah ada orang booking. Cuma twist-twist tu takde orang nak guna sangat.

Lepas jogging seround, lepak kat sini, buat exercise lengan la pulak. Hubby kata, macam orang bawa lori je! Dah la hari-hari bawa kereta. Tapi aku rasa bagus juga bendalah ni, boleh buang sikit lemak-lemak kat lengan aku. Walaupun hari-hari memasak guna tangan, aku tak rasa kurus pun.....hehe....ni la masalah orang perempuan.

Asal rasa bonjol sana sini, mulalah susah hati. Mula cari ubat krim nak sapu, cari jamu nak buang selulit la......aku rasa semua tu tak berkesan sebab aku dah buat. Baik pergi jogging atau senaman yang menyihatkan badan. Perlu konsisten (cakap pandai, sendiri pun kekadang berat nak buat) kalau nak hasil yang memuaskan.

Lepas jogging, balik rumah melantak pula nasi goreng kampung. Samosa dan air teh o. Hemmm....turunnya tak seberapa, nak buat macamana? Nafsu manusia ni susah nak kawal melainkan didorong oleh sesuatu perkara seperti penyakit kronik atau kerana terpaksa.

Cuba tengok 'mamat' ni......rajinnya dia bersenam.....patut le hensem....hehe.(tengok kiri kanan, laki ada ke tak?). Sama-sama la kita menjaga kesihatan masing-masing demi keluarga tercinta.



nota aku: harap aktiviti ni berterusan hendaknya.....

Daging Dendeng

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Bosan nak masak apa? Semalam aku keluarkan daging dari peti, puas fikir nak masak apa. Gulai kawah jemu, bersantan bagai. Sudahnya aku search internet dan jumpa resipi ni. Sebenarnya biasa je masak kicap ni tapi entah kenapa dia letak tajuk Daging Dendeng.

Sumber ditulis dari Chef Wan, maaf la kerana lupa kat mana ambil resipi ni, apa punya minda. Baru semalam print dah lupa hari ni.....

DAGING DENDENG

Bahan-bahan:

1 cwn + 3 sudu besar minyak masak
1 kg bawang besar, dikupas dan dihiris-hiris
2 cm halia, dikupas dan diparut
5 ulas bawang putih, dikupas dan dihiris-hiris
100 gm cili kering, kisar
1 kg daging lembu batang pinang dihiris 6mm tebal
1 1/2 sudu besar kicap pekat
2-3 cawan air asam diperah dari 45 gm asam jawa
2 sudu besar gula (saya guna gula melaka)
garam

Cara membuat:

Panaskan 1 cwn minyak masak dan goreng bawang besar, halia dan bawang putih selama 5-7 minit. Keluarkan dan kisar kasar.

Di dalam periuk bersih, panaskan 2 sudu besar minyak masak dan tumis cili tumbuk. Tambah daging dan pes bawang besar, halia dan bawang putih.

Campur kicap pekat dan goreng selama 15 minit.

Masukkan air asam, tambah gula dan garam. Renihkan di atas api kecil sehingga kuah agak kering.

Hidang dengan roti jala atau nasi.

nota aku: daging masak mcm ni tahan lama, simpan dlm peti, bila nak mkn panaskan je....

'Picnik' dirumah MatGebu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Hari ni aku luangkan masa depan komputer dan ubahsuai apa yang patut dalam blog ku. Berblog ni takde siapa yang ajar ku, semua aku belajar sendiri samada dari pencarian dalam google atau bertanya serba sedikit dengan teman-teman dialam cyber. Itu pun tak begitu membantu berbanding aku cari sendiri disetiap blog atau website yang aku temui. 

Tadi blog walking kerumah MATGEBU (alah...chef kita yang masakannya nampak vouge tu!!) dan sempat la aku berpiknik di sana......hehe....bukan makan-makan tau...

Aku terbaca entry CMG tentang edit gambar masakan dia yang nampak cantik, menarik dan tertarik tu. Rupanya dia gunakan http://www.picnik.com/ untuk edit dan jadikan gambar tu lebih cantik. Sebenarnya dulu-dulu aku pernah 'main2' edit gambar di sana, tapi tak serious dan lama-lama aku pun lupa. Siapa yang nak mencubanya, boleh la tengok entry CMG di sini......step by step CMG tolong ajarkan.

Lepas berpiknik tadi, aku balik le rumah. Ni la hasil yang aku cuba tadi.......
Di atas tu gambar yang dah di edit dan bawah ni gambar asalnya, ok tak? CMG nak bagi berapa markah?



Apa-apa pun nak ucap terima kasih kat CMG kerana sudi kongsi ilmu dengan kita yang buta IT ni. Kamera pun tak canggih macam orang lain. Tunggulah, acik kayo.........adolah kamera baru....

nota aku: hehe....pinjam nama che mat, jangan marah ye!!

Dalam tawa ada tangisnya, wahai ibu tercinta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

Semalam handphone nokia ku menghubungkan aku dengan bonda tercinta. Dua hari lepas hubby bermimpi, katanya emak ku menangis-nangis, sedih sangat kerana ada masalah dengan anak dan cucunya. Masalah tu tak perlu la aku cerita di sini.

Ketika berbual dengan dia, aku tanyakan khabarnya. Katanya sihat dan baru pulang dari rumah abang ku. Aku tanyakan lagi bagaimana tanamannya di belakang rumah adik ku. Ok saje jawapannya. Sepanjang perbualan kami, tiada sedikit pun nada sedih kedengaran.

Begitulah kedua ibubapa kita. Masalah sebesar mana pun tak pernah tunjuk pada anak. Aku tahu, hatinya sedih sangat bak di tusuk sembilu kerana beberapa perkara kebelakangan ini. Namun kerana sikapnya yang happy go lucky atau periang, ramai orang luar atau anak-anak sendiri tidak perasan sekiranya dia bersedih atau kecil hati.

Saat ini aku terasa sangat kesedihan itu. Aku membayangkan aku sendirian bila hari tua menjelma nanti. Bagaimana nasib ku pula. Sedangkan ibu ku kini dikelilingi anak yang ramai serta cucu yang berpuluh pun masih tak dapat memahami dia. Inikan pula jika orang seperti aku yang hanya ada seorang anak? Bila dia besar nanti, dah ada kerjaya sendiri, ada kekasih hati dan beristeri, dimanakah aku ketika itu.

Setiap kali lepas solat, aku tak pernah lupa berdoa agar anak ku menjadi anak yang soleh, berbudi bahasa, mengenang jasa bukan ibubapa sendiri sahaja tetapi juga mereka2 yang telah mendidik dia. Mudah2an imannya kuat dan kukuh. Tidak mudah dijajah oleh anasir yang tak elok.

Beginilah yang emak rasa agaknya. Siang malam memikirkan anak-anak dari dalam perut hinggalah lahir kedunia. Betapa susahnya dia nak membesarkan anak-anak yang sepuluh orang, dari kecil hingga menjejak ke jinjang pelamin. Kemudian dari anak-anak berumahtangga hingga ada anak sendiri, emak itulah yang di cari bila dalam kesusahan. Takde tempat nak letak anak ketika berkerja, emak la jugak jadi tempat 'tadika'. Emak la juga yang menyuap makan ke cucu, jaga pakaian mereka dan mendukung kehulu kehilir tika cucu minta dodoi. Dari cucu seorang hingga berpuluh2 cucu, emak tak pernah menolak atau membenci. Semua dilayan sama rata. Duit poket cucu tak pernah kering, setiap kali emak berduit, pasti dihulur kat cucunya.

Tetapi, adakah cucu yang disayang dan di junjung itu menghargai dia? Entahlah.......bagi ku sekiranya kita sebagai ibubapa sering mengingatkan anak-anak, pasti mereka takkan lupa. Kekadang anak-anak sendiri pun 'mudah lupa', apatah lagi 'cucu'nya?

Bagi ku pula, hanya doa ku kirim dari jauh agar dia dalam keadaan sihat walafiat, tenang, rajin beribadat, moga Allah memberkatinya. Membalas jasanya di akhir nanti. InsyaAllah.

Lokan bakar dan air kelapa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihi...

 Hari ni kami jalan jauh sikit dari rumah, hampir 45 minit ketempat di tuju. Hanya nak makan lokan bakar dan air kelapa. Ini kali pertama aku makan lokan bakar. Ada yang besar, kecil dan sedang-sedang aje. Kami order sedulang je, takut tak abis. Aku pun makan tiga ketul, rasa liat2......nak tercekik bila menelan tu.....

Sepanjang jalan ke sana, cuaca amat panas. Kereta kami tak beraircond, dah beberapa minggu tak repair. Kekadang aku menolak hubby ajak keluar semata2 kerana kepanasan duduk dalam kereta, habuk lagi bila tingkap terbuka. Tapi ada suara yang mengatakan, "itu sikit je dugaan, dah tak tahan". Biasalah kita ni sebagai manusia biasa, perkara yang dah biasa kita dapat, tetiba terputus sekejap, dah merungut.

Balik dari makan-makan, singgah shopping complex, katanya ada offer gila2 kat situ. Bila aku masuk, takde apa yang ku beli. Tak reti nak beli longgok-longgok gitu (bukan memilih tapi kalau dah bertimbun, tak kuasa nak mengorek mencarinya)

Ok la...sambung kemudian. Orang sebelah nak guna laptop pulak!! ish....saje kacau tau..